Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang berprinsipkan kos rendah tetapi berimpak tinggi itu dibina Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama beberapa agensi lain antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurutnya, program itu bertujuan membantu meringankan beban golongan B40 yang kehilangan rumah akibat kebakaran terutama kediaman yang tiada insurans.

“Setiap rumah ini bernilai RM40,000 dan ia dibina sepenuhnya JBPM dengan bantuan agensi lain sebagai tanggungjawab sosial korporat (SCR) mereka.

“Setidak-tidaknya dengan pembinaan rumah ini, mangsa dapat memulakan kehidupan baharu,” katanya selepas menyerahkan replika kunci kepada penerima di Kampung Sungai Sireh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.75 juta kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk program tersebut.

“Setakat ini, JBPM menyiapkan 40 rumah di seluruh negara dengan 11 buah di Selangor,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Rubingah Supian, 67, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan pemberian rumah itu.

“Kami sekeluarga amat terharu dengan pemberian ini kerana sejak rumah kami terbakar pada Januari lalu, kami terpaksa tinggal di garaj yang diubah suai menjadi rumah sementara.

“Pemberian ini memberi makna yang besar kepada kami kerana kebakaran itu juga menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.