Selain makanan, menikmati keenakan minuman kegemaran pasti memberi kepuasan pada waktu berbuka puasa.

Bagi peniaga minuman, Zarul Shaari, 35, ketibaan Ramadan sentiasa dinanti kerana memberi peluang untuk menjual pelbagai jenis minuman kepada pengunjung di bazar Ramadan Bandar Sunway di sini.

“Setiap hari saya menawarkan kira-kira 35 jenis air antaranya air kelapa, kathira, tembikai, mang­ga, keladi, mata kucing, jagung dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Zarul, setiap bungkusan minuman yang sudah disajikan dengan ais dijual pada harga RM3.

Dia berkata, walaupun mempunyai saingan yang ramai di bazar Ramadan, tawaran kepelbagaian jenis air memberi kelebihan kepadanya untuk memikat lebih ramai pelanggan.

“Hasil jualan pada setiap hari agak memberangsangkan terutama pada hujung minggu iaitu sekitar RM2,000,’’ katanya yang dibantu oleh dua orang pekerja itu.