Penolong Pengarah Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Armalik Mohd. Ali berkata, pertandingan anjuran bersama pihaknya dengan syarikat mengeluar makanan, Nestle Products Sdn. Bhd. itu bertujuan menimbulkan kesedaran para pelajar terhadap masakan berkhasiat serta amalan pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian mereka.

“Selain itu, ianya dapat memupuk minat memasak dan mencungkil bakat serta kreativiti para pelajar dalam bidang masakan.

“Secara tidak langsung, pertandingan seumpama ini berjaya menarik minat murid memilih elektif Ekonomi Rumah Tangga (ERT), khususnya dalam bidang masakan dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB), katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Armalik, setiap pasukan sekolah diwakili tiga orang pelajar dan mereka dikehendaki menyediakan menu masakan bertema Sajian Sihat Klasik Malaysia dan menu spontan dari peti misteri yang dihakimi oleh tiga orang juri profesional.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan SMK Munshi Abdullah, Sabak Bernam berjaya muncul sebagai johan dalam pertandingan itu manakala naib johan disandang Sekolah Agama Menengah Rawang, Gombak dan SMK Convent Klang pula mendapat tempat ketiga.

“Johan pertandingan ini akan mewakili Selangor ke pertandingan memasak peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Kelantan pada Oktober ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE