Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, penganjuran seminar tersebut bertujuan memberi pendedahan secara menyeluruh kepada JMB, MC dan pemaju terhadap peranan dan tanggungjawab Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS).

“Dalam seminar itu, prosedur pemfailan tuntutan berdasarkan peruntukan Bahagian 1, Jadual Keempat, Akta Pengurusan Strata (Akta 757) turut diberi penerangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar berkenaan di Wisma MBSA di sini, hari ini.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar.

Shahrin menambah, selain seminar, turut dijalankan adalah sesi penerangan dan pemahaman mengenai pelaksanaan cukai petak hakmilik strata yang telah dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Menurutnya, terdapat 552 kawasan berstrata di Shah Alam melibatkan 85,141 unit petak keseluruhannya.

“Dua kertas taklimat dibentangkan kepada para peserta oleh pegawai TPPS dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian Selangor,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya berharap seminar sedemikian dapat memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk menyuarakan dan mengemukakan sebarang idea serta pandangan untuk penambahbaikan pengurusan JMB dan MC dalam kawasan pentadbirannya. - UTUSAN ONLINE