Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam, Rizam Ismail berkata, program itu merupakan kesinambungan usaha pihaknya memastikan kecemerlangan pendidikan para pelajar meskipun mereka hidup dalam kemiskinan dan kurang berkemampuan. 

“Pemuda UMNO sentiasa komited dalam usaha membantu apa cara sekali pun bagi meningkatkan pendidikan anak bangsa. 

“Dengan ilmu pendidikan yang sempurna akan melahirkan pelajar seimbang berdasarkan falsafah pendidikan negara dan sekaligus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan,” katanya selepas merasmikan Program Jom Skor Program HELP Tuisyen 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munsyi Abdullah di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengetua SMK Munshi Abdullah, Noraini Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Abdul Rahman Bakri.

Tambah Rizam, Program HELP Tuisyen yang diperkenalkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sejak 2014 itu adalah program yang berterusan yang memberi fokus kepada penguasaan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah di peringkat SPM. - UTUSAN ONLINE