Sehubungan itu, penduduk menyatakan kekesalan de­ngan tindakan kerajaan negeri ter­utama Pejabat Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang didakwa tidak membela nasib penduduk atau menyelesaikannya dengan cara sepatutnya.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Prihatin Lot 626 dan 1416 Padang Jawa, Azman Mohd. Taib berkata, penduduk hairan bagaimana mereka boleh mene­rima notis bailif (wirit) pada Selasa lalu, sedangkan satu perbinca­ngan sedang dijalankan bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Ban­dar, Haniza Talha.

Jelasnya, penduduk yang merupakan golongan peneroka asal telah tinggal di kawasan itu sejak dari 1970-an dengan perjanjian sewaan yang diperbaharui setiap tahun antara generasi pertama peneroka dengan pemilik asal.

“Perkara ini telah dibawa ke Mahkamah Rayuan dan hakim memerintahkan bahawa penduduk bukan penceroboh tetapi penghuni yang menduduki tanah dengan kebenaran selain mengarahkan pemaju me­lalui pendengaran penuh di mahkamah sebelum menuntut milikan tanah.

“Penduduk kesal kerana dianiaya oleh pemaju dan nasib mereka tidak dihiraukan oleh ADUN, sedangkan perkara sama berlaku kepada peneroka di Kampung Rimba Jaya dan mereka mendapat rumah di tempat asal, namun kami sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, kelmarin.

Pada 4 April lalu, seramai 50 penduduk yang merupakan pe­neroka asal di kawasan tersebut berkumpul di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengadakan demonstrasi secara aman bagi me­nuntut kerajaan negeri mempertahankan me­­reka da­­ripada diusir.

Sebelum ini, pendu­duk te­lah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menghentikan pengusiran penduduk Kampung Padang Jawa.

Sementara itu, seorang pen­du­duk, Noor Azmi Yaacop ber­kata, dia amat kecewa de­ngan tindakan ADUN Batu Tiga kerana tidak membantu menyelesaikan masalah itu.

“Beliau (Rodziah) hanya me­nyuruh kami memohon Rumah Selangorku di mana-mana kawasan menerusi atas talian tanpa memberi jaminan kelulusannya tanpa mengambil kira golongan peneroka di sini kebanyakan mencari rezeki di sekitar daerah ini.

“Kami tidak akan berganjak dari kawasan ini walaupun rumah dirobohkan. Sekiranya dirobohkan, kami akan memasang khemah untuk berteduh bagi mempertahankan hak kami sebagai peneroka asal,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Suraya Akop menjelaskan, dia berasa sedih apabila mengenang nasib bakal diusir.

“Saya menetap di sini sejak sekian lama. Kawasan ini dahulu hanya hutan dan jalan tanah merah sahaja. Ibu bapa saya sebagai peneroka asal yang membangunkan rumah menggunakan duit sendiri,” katanya.