10,000 apam balik percuma diedarkan di Jalan Kebun

SEBAHAGIAN pekerja Apam Balik Istana bertungkus-lumus menyediakan juadah itu untuk diberi secara percuma kepada orang ramai  Jalan Kebun, Shah Alam, semalam. - UTUSAN ONLINE/Abdul Razak Idris

Peniaga terbabit, Mohd. Nabil Rahizad berkata, program pemberian apam balik itu merupakan inisiatif beliau sendiri sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan pelanggan kepada peniagaannya yang dikenali sebagai Apam Balik Istana selama ini.

“Saya keluarkan kos kira-kira RM5,000 untuk menyediakan apam balik itu untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai. Kita mula agihan itu bermula pukul 4.30 petang dan berakhir pada pukul 8 malam.

“Seramai 15 pekerja terlibat dalam menyediakan juadah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini malam semalam.

Tambah Mohd. Nabil, antara apam balik yang disajikan oleh pihaknya meliputi perisa nestum, milo dan coklat.

Jumlah 10,000 keping apam balik itu katanya menyamai jumlah apam balik yang dijualnya di empat lokasi setiap hari iaitu di Jalan Kebun dan Seksyen 24, masing-masing di Shah Alam serta di Teluk Panglima Garang dan Kampung Batu 8 di Kuala Langat. - UTUSAN ONLINE.