Melalui Program Bakti Siswa 2017 anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial Gunaan Sesi 2016/2017, para peserta ditempatkan bersama 40 keluar­ga angkat yang cukup gembira menerima kehadiran mereka.

Majlis perasmian program yang menjadi tradisi warga kampus itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia ne­geri, Datuk Rozi Mamat di Dewan Sivik Kuala Telemong, yang turut dihadiri Penolong Naib Canselor Unisza, Dr. Afandi Mohammad.

Pengarah program, Mohd. Aswan Mohd. Amin berkata, para peserta terdiri daripada pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Dakwah serta Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial.

Katanya, para pelajar perlu terus didedahkan dengan realiti kehidupan pelbagai kelompok masyarakat agar dapat memberi kesedaran tentang tanggungjawab dan peranan mereka terhadap masyarakat kelak.

“Melalui program selama tiga hari ini juga para pelajar dapat menjalin silaturahim, di samping dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang merupakan salah satu elemen penting dalam bidang pengajian mereka,” katanya.

Sepanjang program tersebut, kata Mohd. Aswan, para peserta turut bergotong-royong termasuk membersih dan mengindahkan kawasan perkuburan di samping beberapa aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Dengan adanya program sebegini, tambahnya, para peserta dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kelas ke dunia sebenar.

“Pihak fakulti juga meninggalkan projek minimalis iaitu Pusat Impak Kekal ‘Siswa Dan Komuniti’ untuk kegunaan jangka panjang oleh penduduk Kampung Hulu Telemong.

“Sebuah perpustakaan mini di Pusat Impak Kekal ini ditinggalkan oleh kami bagi kegunaan warga kampung dan merupakan tanda kehadiran kami di sini,” katanya.