Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pelan pembinaan itu akan diteliti oleh pihaknya bagi menentukan tahap keselamatan terutama aspek pendawaian yang sering menjadi punca kes-kes kebakaran sebelum ini.

“Selain membuat penilaian tahap keselamatan, kami akan memberi khidmat nasihat termasuk mengadakan lawatan ke premis terlibat.

“Di negeri ini, terdapat sekolah agama dan pondok mengemukakannya secara rasmi kepada kami namun ada juga premis yang tidak pernah berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan asrama Pondok an-Nuur di Kuala Penor di sini terbakar menyebabkan seramai 103 pelajar­nya hilang tempat tinggal.

Menurut Abdul Wahab, sehingga kini pihaknya memeriksa sebanyak 89 buah sekolah agama termasuk Pondok an-Nuur.

“Pondok an-Nuur misalnya mengikuti standard yang ditetapkan JBPM. Hampir semua struktur bangunannya batu dan dari segi pendawaian ia dimasukkan dalam paip polyvinyl chloride (PVC).

“Siasatan mendapati punca kejadian mungkin terdapat penggunaan soket berlebihan,” katanya.

Tambah beliau, pada tahun lalu, semua Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri diarah me­lakukan pemantauan di sekolah agama atau pondok sekurang-kurangnya lima buah dalam tempoh sebulan bagi memastikan tahap keselamatannya berada dalam keadaan baik.

“Saya juga berharap setiap pemilik bangunan, sekolah, pejabat kerajaan mahupun swasta berhubung dengan pihak kami untuk memohon pemantauan dilakukan ke atas premis mereka,” katanya.