Atas rasa tanggungjawab itu, pelbagai agensi berganding bahu bergotong-royong membersihkan kawasan Beting Beras Basah di sini, baru-baru ini.

Antara yang terlibat termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, Rela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Te­luk Intan (MPTI), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Yayasan Mastan Ghani.

Penolong Pegawai Daerah Bagan Datuk, Syahruddin Abdul Hamid berkata, program gotong-royong itu bertujuan membersihkan sampah sarap di kawasan ber­kenaan supaya Beting Beras Basah sentiasa dalam keadaan bersih dan indah.

Menurutnya, ini ke­rana Beting Beras Basah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang mahu melihat salah satu tempat berlangsungnya istiadat pertabalan Sultan Pe­rak.

Katanya, jika kebersihan kawasan sekitarnya tidak dijaga, ini boleh menjejaskan kedatangan pelancong dan persekitaran kawasan itu yang mempunyai pemandangan yang indah.

“Kepada pengunjung yang datang ke sini, mereka diharap tidak meninggalkan sampah sarap sebaliknya perlu bersama-sama menjaga kebersihan di sini.

“Saya menyarankan supaya pengunjung membawa beg plas­tik untuk mengisi sampah-sampah yang mereka bawa dan ini adalah antara cara terbaik untuk memelihara kebersihan kawasan ini. Langkah ini harus dilakukan atas rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Istiadat mencecah kaki di Be­ting Beras Basah merupakan destinasi terakhir dalam istiadat pertabalan Sultan Pe­rak untuk menyempurnakan istiadat yang dinamakan mencecah kaki di muara Sungai Perak.

Istiadat itu dimulakan oleh Sultan Perak Pertama, Sultan Muzzaffar Shah I pada abad ke-15 iaitu pada 1528 dan istiadat itu diteruskan dalam setiap pertabalan Sultan Perak.

Beting Beras Basah menjadi tumpuan pelancong yang mahu melihat keunikan pasir timbul di permukaan muara Sungai Perak apabila air surut.

Untuk ke Beting Beras Basah, pengunjung perlu melalui jalan darat iaitu jalan ladang Felcra dan menempuh kawasan Kampung Sungai Ular yang mengambil masa kira-kira 10 minit dari pekan Bagan Datuk.

Beting Beras Basah merupakan kawasan larangan orang ramai tidak boleh dicemari daripada sebarang kotoran.

Hutan yang terdapat di Be­ting Beras Basah menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung-burung yang bersarang di pokok bakau.

Sementara itu, Orang Besar Jajahan (OBJ) Bagan Datuk, Dr. Khalid Ismail berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan istiadat mencecah Beting Beras Basah di muara Sungai Perak di sini, hari ini semasa ditabalkan sebagai Sultan Perak pada Mei 2015.

“Kawasan ini perlu dijaga dalam semua aspek terutama kebersihan dan tidak dicemari supaya tempat yang menjadi sejarah kesultanan Perak ini terus dikekalkan,” katanya.