Malah di setiap bandar besar dalam mana-mana negara sekali pun, golongan ini menjadi masalah sosial kerana keadaan hidup mereka mencerminkan pelbagai gejala sosial yang mendatangkan kesan kepada masyarakat.

Walaupun begitu, masyarakat umumnya tidak berhak untuk menyalahkan mereka malah sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai pilihan sama ada untuk membantu ataupun terus memberi pandangan serong terhadap golongan tersebut.

Wartawan Utusan Malaysia, DIANA AZIS baru-baru ini berpeluang mendekati Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) melalui Setiausahanya, Norfadilah Mansor untuk menyingkap usaha murni mereka dalam membantu golongan berkenaan di negeri ini. 


Utusan Malaysia: Boleh terangkan secara ringkas peranan Perkasih N9 serta jumlah keahlian setakat hari ini?

Norfadilah: Perkasih N9 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah didaftarkan pada November 2016 dan kami berperanan untuk membantu golongan gelandangan, miskin, asnaf serta masyarakat yang kurang bernasib baik di sekitar Negeri Sembilan.

Setakat hari ini, Perkasih N9 mempunyai seramai 80 sukarelawan dari setiap daerah dan kebanyakan mereka mempunyai kerja tetap masing-masing.

Boleh jelaskan aktiviti utama pertubuhan ini?

Aktiviti utama kami adalah memberi makanan pada golo­ngan gelandangan di sekitar Se­remban pada setiap minggu selain turut mengambil tahu keperluan yang mereka perlukan untuk meneruskan kelangsu­ngan hidup.

Jika mendekati golongan ini, pelbagai kisah boleh dikongsi dan kami tidak pernah menuding jari atas apa yang berlaku terhadap kehidupan mereka.

Mereka sebenarnya memerlukan seseorang yang ikhlas untuk mendengar rintihan serta berkongsi masalah dan kenapa mereka menghabiskan sisa-sisa kehidupan di kaki lima, bawah jambatan atau tepi pasar.

Sasaran Perkasih N9 untuk diberi bantuan selain golongan gelandangan?.

Selain gelandangan, kami juga menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf, miskin dan ahli keluar­ga yang sakit.

Sebagai contoh, kami memberi barangan keperluan harian se­perti beras, lampin serta makanan kepada keluarga miskin dan asnaf selain bantuan berbentuk wang tunai kepada keluarga yang memerlukan bagi menampung kos ubatan atau pemeriksaan kesihatan.

Dari mana sum­ber maka­nan dan wang tunai yang diperolehi oleh Perkasih N9 untuk membantu golongan ber­kenaan?

Memandangkan Perkasih N9 merupakan badan NGO, kami mendapatkan barang-barang serta wang tunai hasil sedekah dan pemberian orang ramai.

Selain barang-barang maka­nan, ada juga yang menyumbangkan keperluan lain seperti pakaian, barangan elektronik ser­ta kelengkapan persekolahan daripada individu atau syarikat swasta yang bekerjasama dengan kami.

Dari segi wang ringgit pula, kebanyakannya disumbangkan oleh orang perseorangan menerusi sumbangan ke akaun bank Perkasih N9 ataupun zakat dari syarikat-syarikat korporat.

Selain bantuan fizikal, apakah inisiatif lain yang dilakukan oleh Perkasih N9 dalam membantu golongan ini?

Bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup, kami turut berusaha mendapatkan pekerjaan kepada mereka yang masih mampu bekerja.

Setakat hari ini, kira-kira 17 individu gelandangan, miskin dan asnaf mendapatkan pekerjaan.

Alhamdulillah, mereka masih be­kerja dan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada majikan.

Kebanyakan daripada mereka bekerja di kedai makan, tempat cuci kereta dan pengawal kese­lamatan di daerah ini dan Kuala Pilah.

Selain aktiviti pemberian ma­­kanan, barangan dan carian pekerjaan, apa bantuan lain yang dilakukan?

Kami turut mengadakan aktiviti membeli-belah pada musim perayaan dan permulaan persekolahan.

Sebagai contoh pada Hari Raya Aidilfitri, mereka akan dibawa ke pasar raya berhampiran untuk membeli kelengkapan sempena menyambut perayaan seperti baju raya dan kasut baharu.

Selain itu, kami juga akan membawa anak-anak miskin dan asnaf membeli peralatan sekolah pada setiap hujung tahun sebagai persiapan menjelang musim persekolahan tahun berikutnya.

Apakah harapan Perkasih N9 kepada masyarakat khususnya dalam menghulurkan bantuan kepada golongan ini?

Kami di Perkasih N9 berharap agar ada lebih banyak syarikat tidak kira kerajaan atau swasta untuk tampil membantu golo­ngan ini tidak kira dari segi kewangan mahupun barang keperluan.

Di samping itu juga, kami amat mengalu-alukan kerjasama daripada mereka untuk mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama kami dalam usaha membantu mereka yang serba kekurangan.