HASAN ABD. RAHMAN
HASAN ABD. RAHMAN

Kegembiraan itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pemba­ngunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd. Rahman yang menyifatkan jualan sebagai memberangsangkan dan di luar jangkaan berbanding sasaran awal hanya RM250,000.

Lebih membanggakan apabila sejumlah 80,000 pengunjung hadir sedangkan sasaran awal hanya kira-kira 50,000 penduduk.

Menurut Hasan, Showcase SDSI adalah langkah permulaan untuk memperkenalkan pejabat daerah kecil Sungai Rambai yang mula beroperasi sejak awal Disember lalu.

“SDSI mendapat sambutan menggalakkan dan ia menjadi pemangkin untuk Sungai Rambai membangun sebagai sebuah daerah kecil dan menjadi pintu masuk gerbang selatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

SDSI yang bermula sejak tahun 2006 itu membuat kelainan pada kali ini dengan pertukaran lokasi dari Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ke daerah kecil Sungai Rambai bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai bagi memperkasakan objektif SDSI sekali gus memberi peluang dan ruang khusus kepada masyarakat luar bandar mengenali dan memahami program berkenaan.

Jumlah penyertaan kira-kira 300 usahawan itu termasuk 60 usahawan di setiap daerah dan 14 usahawan dari pelbagai negeri selain 80 usahawan ‘uptown’ memeriahkan program yang masuk tahun ke-11 itu.

“Kita tidak lagi mengadakan SDSI di MITC tetapi kita akan pergi di setiap pelosok daerah dan bermula di daerah kecil Sungai Rambai, diikuti Melaka Tengah pada tahun ini, Alor Gajah dan seterusnya daerah Jasin.

“Pertukaran lokasi pe­nganjuran untuk kita lebih perkenalkan SDSI kepada masyarakat kampung dan mereka dapat peluang untuk melihat perjalanan SDSI itu,” kata Hasan.

Berpuas hati dengan penganjuran kali ini, Hasan melahirkan keyakinan Sungai Rambai akan mampu menyediakan kemudahan termasuk kaunter bayaran cukai tanah, urusan pusaka kecil dan permohonan tanah yang dapat memudahkan penduduk.

Penulis melihat langkah kerajaan negeri Melaka menganjurkan SDSI di Sungai Rambai kali ini bertepatan dengan usaha menjadikan daerah kecil itu sebagai hab utama kepada penduduk di selatan Melaka.

Tidak mustahil jika suatu hari nanti, Sungai Rambai mampu mewujudkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri di mana akan ada satu agensi khas yang mentadbir kawasan tersebut yang dilihat semakin pesat membangun.