Pesawah mendakwa, air dari tali air 136 di Tanjung Piandang tidak dapat dialirkan ke petak padi kerana saluran paip pvc sepanjang 500 meter dibina terlalu tinggi dan tekanan air rendah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna.

Selain itu kata mereka, pintu air yang dibina di muara masuk ke laluan palong tidak berfungsi dengan baik dan masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama.

Seorang pesawah, Abdul Ha­lim Hamid, 45, berkata, petak sawahnya yang baru ditabur benih padi sebulan lalu sudah mulai kering kerana tidak dimasukkan air.

Menurutnya, ekoran itu dia terpaksa menggunakan pam bagi menyedut air daripada parit utama di Kampung Parit Tanjung Piandang Darat ke petak sawah seluas lebih satu hektar.

“Saya menggunakan pam untuk menyedut air selama 24 jam sejak minggu lalu. Saya terpaksa menggunakan modal sendiri untuk mengelak anak padi te­rencat akibat ketiadaan air,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Johari Abdul Hamid, 40, pula berkata, akibat ketiadaan air, pertumbuhan anak padi akan terencat dan rumput rampai yang liar seperti rumput sambau mulai tumbuh.

Katanya, ini menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk membeli racun.

“Ini sudah tentu menjejaskan pendapatan pesawah kerana ada di antara kami yang menyewa sawah milik keluarga,” katanya.

Bagi Shamsuri Halid, 47, pula berkata, kerana kekurangan air, terdapat petak sawah yang mulai merekah tanahnya sejak beberapa hari lalu dan keadaan bertambah buruk kerana hujan tidak turun sejak beberapa hari lalu.

“Akibat masalah air, padi yang dibaja tidak membesar, jadi kami berharap pihak yang berkenaan memberi perhatian terhadap masalah ini,” katanya.