Abu Samah Yusof, 69, atau dikenali sebagai Pak Chat berkata, perjalanan Program Kayuhan Solo Utara-Selatan Misi Kemanusiaan Selamatkan Rohing­ya sejauh 664 kilometer sejak 16 Februari lalu dari arah utara itu berjaya mengedarkan sebanyak 500 risalah Tabung Rohingya Utusan-Tabung Haji (TH) dan tabung Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia kepada orang ramai yang ingin menyumbang.

Jelasnya, beliau turut gembira terhadap sambutan yang diterima daripada masyarakat yang menyokong usaha tersebut demi membantu etnik Rohingya.

“Apabila saya keletihan dan singgah di gerai, mereka yang membayar makanan dan minuman saya. Saya benar-benar terharu melihat keikhlasan mereka.

“Cabaran yang saya hadapi apabila tayar basikal pancit dan masalah pedal. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sebelum majlis pelepasan oleh Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz di Jalan Bangi di sini.

Menurut Abu Samah, beliau menyasarkan sejumlah 500 lagi risalah tersebut dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai untuk sumbangan kepada etnik Rohingya yang menghadapi kesusahan.

“Selepas ini saya akan meneruskan kayuhan ke Johor dan dijangka tiba semula ke Seme-nyih pada 3 Mac ini,” katanya.

Sementara itu Johan berkata, beliau menyokong penuh apa yang dilakukan Abu Samah sebagai usaha membantu etnik Ro­hingya.

“Saya berharap masyarakat di luar sana dapat menderma dan mendoakan agar hasrat Pak Chat mengayuh basikal secara solo berjalan lancar. Semoga beliau diberi kesihatan yang baik bagi meneruskan misi tersebut,” katanya.