Wartawan Utusan Malaysia, ZULFADLI SHARIFUDIN menemu bual Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, DATUK SERI ADNAN MD. IKHSAN berhubung peranan dan hala tuju kementerian bagi membantu menyelesaikan masalah ini termasuk berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan secara bersepadu.

 

UTUSAN: Setakat ini berapa banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan bersetuju untuk bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menangani masalah gelandangan di bandar raya ini?

ADNAN: Sehingga hari ini ter­dapat kira-kira 55 NGO yang berdaftar melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Mereka terdiri daripada pertubuhan, badan kebajikan, aktivis masyarakat dan orang perseora­ngan.

Penglibatan di bawah inisiatif Stra­tegi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) KWP adalah meliputi aktiviti di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan di Medan Tuanku, Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan Di Kuala Lumpur serta Program Pemantapan Jati Diri Gelandangan Siri 1 dan 2.

Apakah bentuk aktiviti pengoperasian NGO terbabit?

Umumnya, aktiviti terhadap gelandangan yang dijalankan adalah mengikut kepakaran dan sumber NGO masing-masing. KWP berperanan menyelaras aktiviti tersebut mengikut inisiatif menangani isu gelandangan di ibu kota serta menjalankan kerjasama bersama NGO dari semasa ke semasa.

Terdapat NGO yang menjalankan aktiviti di pusat-pusat mereka sendiri.

Ini termasuk aktiviti agihan sumbangan makanan, barang keperluan peribadi, pakaian, pemeriksaan kesihatan, pemadanan pekerjaan, pasar percuma dan program insaniah dan kerohanian.

Sejauh mana bantuan yang dihulur NGO mampu menyelesaikan isu gelandangan?

Keperluan dan isu gelanda­ngan di Kuala Lumpur adalah pelbagai dan berbeza mengikut keadaan atau kes yang mereka hadapi.

Populasi gelandangan a­dalah bersifat dinamik serta bersilih ganti. Oleh demikian, bantuan berterusan oleh agensi kerajaan dan NGO adalah tertakluk kepada faktor tersebut dan mengikut kepakaran NGO masing-masing.

Peranan KWP, khususnya di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur adalah sebagai ‘one stop centre’ bagi mempertemukan kumpulan sasar dengan bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan dan NGO.

Selain sumbangan makanan, bantuan meliputi perumahan, pencarian pekerjaan, perubatan, bantuan kembali ke pangkuan keluarga dan sebagainya.

Pada pandangan Datuk Seri apakah bentuk bantuan yang sebenar diperlukan golongan ini?

Bentuk bantuan sebenar yang diperlukan adalah berbeza. Ini termasuklah bantuan tempat tinggal, perubatan, kembali ke pangkuan keluarga dan bantuan kebajikan yang disediakan oleh institusi kerajaan dan NGO.

Sejauh mana KWP melihat keseriusan isu kebanjiran gela­ndangan di bandar raya ini?

Jika dibandingkan dengan bandar-bandar besar lain di dunia, bandar raya ini tidak sampai ke tahap itu.

Berdasarkan data kajian, termasuk kajian cerapan yang di­lakukan KWP dan Dewan Ban­daraya Kuala Lumpur pada 2016 dan 2017, jumlah sebenar gelandangan di pusat bandar adalah di bawah 1,500 orang.

Statistik gelandangan yang ‘bebas’ dan keluar dari zon gelandangan?

Mengikut statistik KWP seramai 1,376 penghuni Pusat Transit Gelandangan yang mendaftar keluar pusat tersebut telah mendapat pekerjaan, tempat tinggal atau kembali ke pangkuan keluar-­ga serta pelatih yang berjaya menamatkan Program Pemantapan Jati Gelandangan.

Harapan KWP berhubung isu gelandangan?

Setiap bandar besar di dunia termasuk Kuala Lumpur tidak akan lari daripada masalah gelandangan, namun usaha berterusan kerajaan untuk membantu golo­ngan ini diharap dapat mengubah seterusnya meningkatkan taraf hidup golongan ini.

Harapan KWP melalui beberapa inisiatif yang dilakukan bersama NGO berupaya mengawal bilangan gelandangan sekali gus hasrat menjadikan bandar raya Kuala Lumpur bersih, ceria dan sejahtera direa­lisasi.