Di Batu 7 Telok Kemang misalnya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan telah mewujudkan Pusat Ikan Hiasan yang pertama seumpamanya di negara ini sebagai inisiatif meningkat dan mempelbagaikan pengeluaran ikan hiasan.

Sempena tahun baharu 2018, pelbagai perancangan diatur bagi memastikan keberkesanan dalam mempromosikan tempat tersebut dan wartawan Utusan Malaysia, DIANA AZIS serta jurugambar IZZUL AHMAD menemu bual Ketua Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, NAWAR A. KARIM untuk mengetahui strategi memantapkan operasi pusat berkenaan.


UTUSAN MALAYSIA: Boleh kongsikan perancangan bagi tahun 2018?

NAWAR: Pelbagai peranca­ngan telah diatur sepanjang tahun ini bagi memastikan Pusat Ikan Hiasan dikenali masyarakat bukan sahaja dari dalam malah pelancong luar negara. Untuk pengetahuan, ketika ini pusat ikan membiakkan lebih 40 jenis ikan hiasan termasuk 20 jenis batu karang menggunakan ka­edah teknologi baharu.

Justeru bagi tahun ini, kami bercadang untuk menambah beberapa spesies ikan yang berada di perairan Port Dickson terma­suk yu dan pari bagi mempelbagaikan koleksi pameran di sini.

Selain tambahan beberapa jenis ikan hiasan, bagaimana pula perancangan dari segi fasi-liti?

Jabatan Perikanan negeri telah memohon peruntukan sejumlah RM100,000 dengan kerajaan ne-geri bagi menambahbaik fasiliti di dalam bangunan Pusat Ikan Hiasan termasuk bilik pameran, papan informasi, dekorasi pa-meran dan sebagainya supaya lebih menarik.

Selain itu, kami juga bercadang menambah sebuah bilik bagi tayangan video kesedaran memelihara sumber perikanan agar dapat memberi kesan kepada masyarakat tentang kepenti­ngan menjaga hidupan laut.

Namun pengubahsuaian tersebut bergantung kepada peruntukan yang diberi oleh kerajaan negeri dan diharapkan ia dapat diluluskan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung kelak.

Dengan perancangan yang diatur, berapakah jumlah pengunjung yang disasarkan untuk tahun ini?

Bagi tahun 2017, kami mene-rima sejumlah 85,377 pengunjung dari dalam dan luar negara dan daripada jumlah tersebut, Di-sember adalah bulan yang pa­ling ramai dikunjungi iaitu 16,134.

Bagi tahun ini, kami menjangkakan seramai 100,000 pengunjung akan melawat pusat ini dan kebanyakan pengunjung adalah pelajar sekolah, universiti dan penyelidik.

Untuk pengetahuan, pusat ini juga menjadi tempat rujukan me­lalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang turut di-sertai beberapa buah universiti tempatan.

Apa program yang dirancang melibatkan masyarakat?

Selain pemuliharaan hidupan marin, Pusat Ikan Hiasan juga menjadi tempat untuk proses penetasan telur dan pelepasan penyu bagi dua spesies iaitu karang dan agar.

Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 1,820 telur penyu berjaya dikutip di perairan Port Dickson dan dibawa ke pusat ini untuk tindakan lanjut namun, tidak semua berjaya ditetaskan kerana terdapat pelbagai faktor sampi­ngan.

Apabila tiba waktu sesuai, kami juga akan adakan program pelepasan penyu bersama masyarakat dan tahun lalu, dua program telah dilaksanakan de­ngan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan.

Melihat kepada perkemba­ngan produk pelancongan di ne-geri Sembilan terutama daerah Port Dickson, bagaimana anda melihat trend pengunjung ke pusat ini?

Kelebihan yang terdapat di pusat ini adalah dengan adanya dua spesies penyu yang mana, orang ramai tidak perlu lagi ke Terengganu untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Pengunjung berpeluang me­ngenali hidupan laut itu bermula dari kejadian telur, penetasan, anak penyu hingga menjadi penyu dewasa.

Selain pameran, apakah aktiviti lain yang disediakan oleh Pusat Ikan Hiasan kepada pengunjung?

Pusat Ikan Hiasan akan be-kerjasama de­ngan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan operator pakej pelanco­ngan untuk mengadakan aktiviti snokling kepada pengunjung supaya mereka dapat menikmati ke­indahan perairan Port Dickson.

Selain dapat melihat bilik pameran, pengunjung berpeluang melihat dengan mata sendiri jenis ikan, terumbu karang serta spesies hidupan laut yang lain melalui aktiviti snokling yang bakal diadakan.

Harapan terhadap pusat ini? Lebih ramai pengunjung diharap dapat hadir ke sini bagi melihat sendiri keunikan khazanah laut yang kian terancam.

Dalam masa sama, kami berharap orang ramai dapat me­nerima manfaat dari segi pendidikan serta kesedaran mengenai hidupan laut dan dalam masa sama, mampu me­ningkatkan ekonomi daerah Port Dickson.