Siapa yang tidak malu dan sedih apabila namanya sering dijadikan bahan ejekan rakan sekampung terutama jika berlangsung perlawanan bola sepak membabitkan Malaysia menentang negara lain lain dan pasukan kebangsaan kalah.

Pada masa itu, dia terpaksa menahan telinga dengar sindiran rakan-rakan yang mempermainkan namanya dan kekalahan dalam perlawanan tersebut.

Namun, pengalaman pahit itu semakin dilupakan apabila dia mengingak usia remaja dan kini berasa bersyukur memiliki nama Malaysia, iaitu sama dengan nama tanah air tercinta yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini.

Dilahirkan pada 19 September 1963, Malaysia memberitahu, nama istimewa itu dipilih untuk diberikan kepadanya oleh datuknya yang memang aktif dalam politik sebelum Sarawak menyertai pembentukan Malaysia.

“Semasa Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, ibu saya menunggu hari untuk melahirkan saya.

“Apabila saya dilahirkan tiga hari kemudian, datuk saya yang memang aktif politik mahu saya dinamakan Malaysia iaitu bersempena nama negara yang baru dibentuk ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Semariang Resettlement Scheme, Jalan Sultan Tengah di sini hari ini.

Menurut ibu kepada tujuh anak ini, dia berasa bertuah kerana merupakan salah seorang daripada lapan rakyat Sarawak yang dikenal pasti bernama Malaysia.

Katanya, disebabkan nama unik itu, dia bersama tujuh lagi rakyat Sarawak yang mempunyai nama sama pernah dipilih untuk menyertai Perhimpunan Anak-Anak Merdeka Sempena Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara di ibu negara pada 27 Ogos hingga 1 September 2007.

Malah, katanya, mereka tidak pernah dilupakan dan sering ditaja untuk menikmati jamuan istimewa di hotel sempena Hari Kemerdekaan pada setiap tahun.

“Disebalik keistimewaan sebagai anak merdeka dan mempunyai nama Malaysia, saya bagaimanapun berasa terkilan kerana nasib saya yang susah belum terbela.

“Saya kini bergantung kepada hasil pendapatan mengurut dan memasak bagi menyara keluarga setelah suami saya, Abu Talip Usop, 59, menghidap penyakit hilang ingatan dan tidak mampu lagi meneruskan pekerjaan sebagai mekanik,” katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, permohonan untuk mendapatkan bantuan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan (JKM) Sarawak tidak pernah diluluskan menyebabkan keluarganya terpaksa tinggal di rumah usang.

Malaysia berkata, dia tidak mengharapkan bantuan besar tetapi cukuplah jika kerajaan membantu membaiki kediaman mereka dan memberi sedikit modal kepadanya untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. - UTUSAN ONLINE