Menurut Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian, pindaan tersebut gagal mengiktiraf konsep itu mengikut ciri asas pemakai menua dan pulau galau (territorial domain).

“Sebagaimana diputuskan kes tersohor (landmark) daripada perundangan lain dan di negeri ini yang mendokong hak orang asli termasuk kepentingan di tanah itu bukan hanya hak ‘usufructuary’ iaitu hak kepada tanah berkenaan.

“Seksyen 6A(1) LACB secara spesifik mengiktiraf hak ‘usufructuary’ sahaja, iaitu hak-hak atau keistimewan dijalankan atau dinikmati komuniti peribumi terhadap ‘territorial domain’ untuk mencari makanan termasuk memburu dan menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan Usul Kanun Tanah (Pindaan) 2018 yang akan dibahaskan esok pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 di sini sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Pengerusi PH Sarawak merangkap ADUN Kota Sentosa, Chong Chieng Jen.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keluasan kawasan yang dibenarkan kepada komuniti peribumi mengikut konsep itu  hanya terhad kepada 500 hektar sahaja.

“Pendirian kami Pakatan Harapan (PH) Sarawak tanah NCR atau pemakai menua dan pulau galau tidak boleh dihadkan mengikut kawasan didefinisikan oleh pihak berkuasa.

“Keluasan pemakai menua dan pulau galau sepatutnya seperti kawasan yang didiami oleh nenek moyang mereka sehingga hari ini, mengehadkannya dilihat suatu yang tidak adil dan secara moralnya salah,” ujarnya.

Beliau berkata, penentuan kepada adat penduduk peribumi Sarawak tidak boleh kepada bukan peribumi atau orang yang tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

“Justeru, kami mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Tanah Orang Asli yang dianggotai pakar dalam adat peribumi untuk menyelesaikan isu itu.

“Kami menyeru kesemua ADUN daripada kerajaan Sarawak untuk tidak menyokong LCAB ketika perbahasan dan undian pada Rabu ini, berikutan ia tidak seperti diharapkan komuniti peribumi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE