Menyedari keadaan tersebut, Kumpulan Projek U-Desa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Jaminan Kualiti dan Pensijilan Halal di Dewan Masyarakat, Kampung Stunggang Melayu, Lundu dekat sini baru-baru ini.

Bengkel anjuran bersama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Stunggang Melayu itu telah menjemput seorang pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Unimas, Dr. Magdeline Andrew Munot dan Asmawaty @ Siti Asmah Ahmad dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) untuk memnyampaikan ceramah.

Seramai 22 peserta menghadiri bengkel yang memfokuskan kepada topik berkaitan jaminan kualiti, kualiti dalam industri makanan, audit kualiti dan pensijilan halal.

Projek U-Desa yang bertemakan Memperkasa Usahawan Desa Kampung Stunggang Melayu Lundu merupakan Kumpulan Projek Komuniti Pusat Transformasi Universiti (UCTC) Unimas diterajui oleh pakar universiti dalam pelbagai bidang seperti Sains dan Teknologi serta Seni dan Reka Bentuk dalam usaha mentransformasikan masyarakat terutama usahawan di kampung berkenaan.

Program ini diketuai oleh Prof. Dr. Lau Seng dan beberapa orang lagi pensyarah kanan serta pegawai pelaksana Unimas.

Dalam program tersebut, peserta telah dibawa melawat ke sebuah kawasan perusahaan di kampung berkenaan bagi meninjau bagaimana konsep audit kualiti dan halal boleh diaplikasikan.

Semua peserta kemudian diberikan sijil pada akhir program dan diharap bengkel tersebut dapat membantu mereka meningkatkan produktiviti dan pendapatan.