Menurut Ketua Cabang PKR Petra Jaya, Baharuddin Datuk Mokhsen, soal tersebut timbul berkemungkinan terdapat pihak tertentu sama ada musuh luar ataupun sebaliknya ‘spin’ dengan kemasukan Ketua Cabang PKR Julau, Larry Sng.

“Umumnya akar umbi secara jujurnya memberikan sokongan majoriti kepada Baru dan mahukan status quo.

“Tiada masalah pun dengan kepimpinan semasa malah kita sedang bersiap sedia bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Pada pagi tadi, Baru menyatakan komitmen untuk terus menjadi Pengerusi PKR Sarawak sekiranya ahli mahukannya di hadapan sekitar 300 penyokongnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Semalam, Presiden baharu PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti ‘naik angin’ setelah ditanya mengenai soal kedudukan Pengerusi PKR Sarawak ketika ditanya pemberita dalam sidang akhbar di Universiti Malaya.

Anwar juga memberitahu hal itu akan dirujuk mengikut Perlembagaan parti sebelum keputusam dibuat selain menganggap perkara sebegitu hanya dibangkitkan media.

Tambahnya, soal pemilihan parti sememangnya dibawah perogatif presiden parti selepas mendapatkan konsultasi dengan cabang-cabang.

“Bagaimanapun bagi Sarawak dan Sabah kita mempunyai autonomi tertentu termasuk pemilihan pengerusi yang telah pun diangkat dalam kongres parti sebelum ini.

“Kami menyokong kepimpinan Anwar dan tiada timbul isu dalam soal ini seterusnya mahu menumpukan kepada persediaan menghadapi PRN kelak,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE