Jumlah dibayar itu meningkat 11.65 peratus berbanding pembayaran bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata, TH sentiasa melaksanakan pembayaran zakat pada permulaan tahun agar wang tersebut dapat dimanfaatkan untuk program zakat yang disasarkan kepada golongan asnaf dan golongan yang memerlukan.

“TH amat mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat ini dapat membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf yang layak,” katanya berucap pada majlis penyerahan zakat tersebut kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Baitulmal dan Wakaf Sarawak, Datuk Putit Matzen; Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Khalidi Ibrahim dan Pengarah TH Sarawak, Zaiton Mohd Yusoff.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah keseluruhan bayaran zakat TH bagi 2017 mencatat peningkatan sebanyak RM67.6 juta atau 12.14 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu RM60.3juta.

Beliau berkata, TH akan meningkatkan lagi pengagihan zakat kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program tanggungjawap sosial korporat (CSR) dengan harapan ia dapat membantu lebih ramai golongan sasar. - UTUSAN ONLINE