Ternyata pengorbanannya tidak sia-sia apabila akhirnya berjaya menyarung jersi pasukan terkemuka dunia, Real Madrid FC dalam usia 20 tahun.

Victor merupakan antara pemain kesebelasan utama Real Madrid sekitar 1996 hingga 1999 dan pernah membantu kelab tersohor itu menjuarai LA Liga pada 1997 dan piala Persatuan Bola Sepak Bersatu Eropah (UEFA) pada 1998.

Kini, Victor sudah bersara daripada kancah bola sepak profesional setelah menghabiskan sisa kerjaya dengan warna-warni kecemerlangan bersama Racing Santander pada 1999 dan Kelab Deportivo De La Coruna (2000 hingga 2006), menjuarai LA Liga pada 2000, Piala Raja Sepanyol (2002) dan mara ke separuh akhir Kejuaraan UEFA.

Menurut Victor, beliau kini berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai seorang jurulatih utama setelah beberapa tahun menimba pengalaman sebagai pembantu Jurulatih untuk beberapa kelab terkenal di Eropah seperti Getafe, Sevilla dan Olympiakos.

Katanya, latihan bola sepak harus dimulakan seawal usia enam tahun kerana peringkat itu minat kanak-kanak sedang berkembang.

“Latihan awal juga diperlukan kerana koordinasi dan sinkronisasi tubuh, fikiran serta kecergasan fizikal seorang pemain akan mengambil tempoh perkembangan yang berterusan untuk matang,” katanya ketika ditemui semasa hadir di Kem Pengalaman Kampus Real Madrid kendalian Yayasan Real Madrid di sini baru-baru ini.

Seramai 320 peserta menyertai kem bola sepak anjuran Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Yayasan 1Malaysia Sarawak, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan yang berlangsung selama dua ming­gu di Stadium Negeri di sini.

Melalui kem tersebut, peserta diberi pendedahan tentang aspek teknikal, taktikal dan fizikal, di samping menerapkan nilai positif tradisi Real Madrid kepada peserta.

Turut diberi penekanan ialah kaedah kejurulatihan terkini kepada jurulatih tempatan yang terlibat.

Victor yang merupakan pemain legenda Sepanyol turut dibantu oleh Pengarah Metodologi Pendidikan, Javier Sanz dan Albert Carrio dari Real Madrid Graduate School-University European untuk menjalankan beberapa kaedah ujian terkini terhadap pemain bola sepak serta tujuh jurulatih tempatan dalam kem tersebut diketuai Ketua Jurulatih NFDP, Hazry Abdullah.

Menurutnya, antara kesilapan besar dalam aspek pembelajaran bola sepak kepada kanak-kanak ialah menengking atau memarahi mereka apabila melakukan kesilapan kerana golongan ini akan mengundur diri apabila berhadapan dengan situasi sedemikian, sekali gus membantutkan potensi mereka dalam bidang berkenaan.

“Kita harus faham bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Justeru, kita harus membuat kanak-kanak mengerti akan kesilapan dengan cara yang baik dan membantu mereka untuk mengatasinya,” ujar beliau.

Tambah Victor, usaha mengadakan kem tersebut oleh pihak Yayasan Real Madrid yang mempunyai pengalaman mencecah lebih suku abad dalam sukan bola sepak adalah untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan di seluruh pelosok dunia.

Bagi mencapai tujuan itu, kata beliau, pihaknya sentiasa memantau perkembangan kanak-kanak terlibat.

Tambahnya, dalam tempoh enam bulan dari sekarang, pihaknya akan kembali ke Sarawak untuk melihat perkembangan lanjut para peserta kerana sudah menjadi tanggungjawab pihak akademi untuk memastikan mereka terus bermain bola sepak dengan berdaya saing.

Sementara itu, Hazry berkata, apa yang dipelajari dalam Kem Pengalaman Kampus Real Madrid harus dipraktikkan oleh peserta di akademi masing-masing dan Persatuan Bola Sepak Sarawak meneruskan program seperti ini pada masa akan datang.

Dalam pada itu, seorang peserta, Rafsan Jani, 12, dari Akademi MyKid Soccer memberitahu, dia berasa gembira apabila dapat menyertai kem tersebut.

“Saya banyak belajar perkara baharu mengenai sukan bola sepak daripada jurulatih Real Madrid terutama Victor,” katanya.

Alaxender Samuel, 14, pula berkata, kem tersebut telah me­ngubah persepsinya tentang dunia bola sepak dan dia kini komited untuk terus memajukan diri dalam sukan berkenaan bagi mencapai impian menjadi penjaga gol kebangsaan.