Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata dalam Operasi SERKAP yang bermula pada 4 pagi di kawasan berhampiran Kompleks ICQS Tebedu dan Inland Port Tebedu, pihak tentera turut mengesan tiga lelaki yang membawa sangkar burung melalui kawasan tersebut.

"Pihak tentera seterusnya telah mengarahkan ketiga-tiga lelaki tersebut untuk berhenti bagi membuat pemeriksaan terhadap barangan yang dibawa.


"Menyedari kehadiran pihak tentera, ketiga-tiga lelaki tersebut bertindak melarikan diri ke kawasan hutan dan meninggalkan barangan yang dibawa mereka," menurut kenyataan itu.


Hasil pemeriksaan ke atas barangan yang ditinggalkan mendapati ada 13 sangkar burung mengandungi 310 ekor Burung Murai yang dianggarkan bernilai RM248,000.


Barang rampasan seterusnya dibawa ke Balai Polis Tebedu dan akan diserahkan kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak bagi hidupan liar untuk tindakan susulan. - BERNAMA