Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, akta tersebut bagi penubuhan SMA yang akan mengawal pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat di negeri ini.

“SMA akan mengawal semua mengenai internet dan ruang siber di samping dapat meletakkan kita dalam arena antarabangsa.

“Selain itu, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) Digital Innovation Hub yang dilancarkan ini menjadi langkah pertama kita ke arah digital ekonomi," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan TEGAS Digital Innovation Hub di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh serta Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Hub inovasi digital itu terbuka kepada semua penduduk Sarawak sebagai platform melahirkan bakat dan inovator baharu, menyokong keusahawanan dan inovator secara percuma pada September ini sempena pelancarannya.

Ia menyediakan ruang kerja kongsi dengan bayaran minimum bagi kemudahan internet pantas, fotostat tiga dimensi, bilik persidangan, program pembangunan bakat dan akses kepada program TEGAS dan rakan strategik.

Sebanyak 11 rakan strategik dilantik termasuk Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Mengulas lanjut, beliau berkata, hub itu mengikut model seperti di Lembah Silikon di Amerika Syarikat yang telah menghasilkan teknokrat dan syarikat gergasi dunia.

“Hub ini nanti akan menjadi pejabat satelit menghubungkan kampung digital di Samajaya yang sedang dibina dan dijangka siap pada 2020.

“Justeru, generasi muda khususnya diminta mengambil peluang disediakan dengan dedikasi, mempunyai visi dan semangat bagi mengubah dunia," ujarnya.

Beliau memberitahu, usaha itu bukannya mudah namun percaya dengan bakat rakyat negeri ini, ia dapat direalisasikan. - UTUSAN ONLINE

Habis