Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, bahagian Serian yang baharu diisytiharkan itu merangkumi daerah Serian, Tebedu dan Siburan.

Katanya, pengiktirafan Serian sebagai bahagian baharu di Sarawak adalah bagi menghargai masyarakat Bidayuh yang menjadi penduduk majoriti kawasan berkenaan yang telah menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara ini.

“Hari ini, 11 April 2015 merupakan hari bersejarah bagi Serian kerana dengan ini saya mengisyitiharkan daerah Serian, Tebedu dan daerah kecil Siburan sebagai bahagian.

“Jika kita ada bahagian Samarahan bagi Melayu, Betong (Iban), Mukah (Melanau), Sarikei dan Sibu (Cina) serta Limbang (Orang Ulu), maka Serian adalah bahagian yang majoriti Bidayuh,” katanya.

Adenan berkata demikian dalam ucapan semasa Perasmian Pesta Birumah (Pesta Menuai) 2015 di sini semalam.

Yang turut hadir isterinya, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Num­pang; Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri merangkap Ketua Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datuk Seri Micheal Manyin Jawong dan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Sebelum ini, Serian merupakan salah sebuah daerah dalam pentad­biran bahagian Samarahan sejak 1987.

Sebelum itu, Serian yang dulunya dikenali sebagai daerah kecil Hulu Sadong adalah di bawah bidang kuasa bahagian pertama iaitu Kuching.

Serian berkeluasan 1,762.4 kilometer persegi merangkumi daerah kecil Tebedu yang merupakan pintu masuk bagi sempadan Kalimantan Barat, Indonesia dan mempunyai penduduk seramai 92,200 orang yang majoritinya Bidayuh, diikuti Iban, Melayu, Cina dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, masyarakat Bidayuh layak untuk mendapat pengiktirafan itu memandangkan mereka juga merupakan penyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Komuniti Bidayuh harus bangga dengan apa dimiliki sama ada budaya, bangsa dan tradisi yang perlu dikekal serta dipelihara.

“Kita mahu kaum ini terus bangga dengan kejayaan mereka, di samping kekal memelihara tradisi dan budaya,” ujatnya.