Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit tersebut disyaki dijangkiti rabies telah dimasukkan ke wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 Ogos lalu.

“Pesakit ini berusia 44 tahun dari Jalan Matang telah meninggal dunia semalam pada pukul 10.15 pagi dengan punca kematian akibat Rabies Encephalitis.

“Berdasarkan maklumat diterima, pesakit tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain namun pernah memukul seekor anjing liar yang menggigit isterinya pada 13 Januari ketika dia mempunyai luka terbuka di tangan kanan,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

“Pesakit mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos ini dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos lalu.

“Keadaannya bertambah teruk sejak 11 Ogos dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia sebelum dibawa ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos lalu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang awam betapa pentingnya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti cuci bahagian tubuh digigit dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan berkenaan.

“Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit anjing atau haiwan yang agresif.

“Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bergaul dengan haiwan liar,” katanya. - UTUSAN ONLINE