Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden berkata sebagai permulaan, sejumlah 20 atlet kelainan upaya akan dipilih berdasarkan merit bagi menjalani latihan di pusat latihan berkenaan, sekali gus dapat mewakili negara pada masa akan datang.

Beliau berkata atlet berkenaan akan diberi elaun wang saku dan disediakan tempat penginapan semasa menjalani latihan, manakala empat jurulatih bertauliah akan dilantik bagi mengendalikan latihan dan juga dibayar elaun.

"Barisan atlet ini dipersiapkan bagi menghadapi SOPMA dan Para Sukma 2020 di Johor," katanya pada majlis pelancaran Program Unit Pembangunan Orang Kelainan Upaya, di sini hari ini.

Beliau berkata atlet kelainan upaya yang akan menyertai SOPMA dan Para Sukma 2020 perlu layak (berdasarkan kepada aspek pencapaian/jumlah mata dalam sukan berkenaan), manakala atlet baharu akan didedahkan jika mereka mempunyai potensi untuk menyumbangkan pingat.

Harden juga mengumumkan Sukan Olimpik Khas Sarawak akan diadakan di Sibu pada 2020, sambil berkata tuan rumah edisi Sibu itu mempunyai tempoh dua tahun untuk membuat persediaan bagi menjayakan temasya sukan tersebut. - BERNAMA