Douglas Uggah Embas.
Douglas Uggah Embas. 

Beliau berkata wabak itu telah dan sedang ditangani dengan kerjasama erat antara agensi kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak penularan penyakit itu pada 4 Julai 2017.


Agensi persekutuan terdiri daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain.


"Kami juga sudah pasti tidak mengambil mudah apabila ia melibatkan kehidupan rakyat kita. Kami tidak bekerja secara silo," kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, katanya di sini hari ini.


Beliau menjawab kenyataan yang dibuat baru-baru ini oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Lintang See Chee How daripada PH yang mencadangkan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk mengawal dan membasmi wabak rabies.


See juga menggesa kerajaan negeri agar mengambil peluang sempena lawatan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye ke Kuching Jumaat ini untuk berbuat demikian.


Bagaimanapun, Uggah berkata beliau memahami kebimbangan See dan menambah 12 mesyuarat penyelarasan dengan jabatan persekutuan dan negeri berkaitan diadakan sejak 2017 manakala lima mesyuarat diadakan tahun lepas.


Pada 30 Okt 2018, situasi rabies adalah sebahagian agenda mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, katanya.


"Saya juga membangkitkan isu ini dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub," kata Uggah dan menambah sehingga sekarang kerajaan negeri telah mengeluarkan kos lebih RM20 juta untuk memerangi wabak ini. 


Beliau berkata selepas rabies diletakkan di bawah Program Kawalan dan Pembasmian Penyakit Haiwan Kebangsaan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya juga membantu kerajaan negeri menyediakan 180 pegawai untuk pengawasan, merangka strategi kawalan yang berkesan dan mewujudkan zon penampan dan imun.


"Ia telah membekalkan 80,000 dos vaksin rabies, menjalankan ujian rabies di Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh dan latihan untuk penubuhan makmal diagnostik veterinar negeri," katanya.


Uggah berkata rancangan sedang dijalankan untuk memberi vaksin dan mikrocip kira-kira 157,000 atau 70 peratus daripada anggaran 225,000 keseluruhan anjing di negeri itu, dengan 109,216 atau 50 peratus telah divaksin setakat ini. 


Beliau berkata NADMA juga mencadangkan operasi bersepadu termasuk sasaran menghapuskan anjing liar di semua 60 kawasan terjejas di seluruh negeri tahun ini.


"Justeru, tidak tepat untuk mengatakan kami tidak menjalin kerjasama dengan kerajaan untuk menangani masalah ini.


"Kami juga bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) dan Save Our Strays (SOS) untuk tangani wabak rabies," katanya. - BERNAMA