Menyifatkan mendiang sebagai pemuda teladan yang mempunyai semangat dan wawasan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Kee Yew benar-benar mahu mengubah masyarakat ke arah kemodenan namun tidak kehilangan warisan budaya yang mereka ada.

"Beliau sangat mengambil berat tentang masa depan negeri ini terutamanya kemajuan Sibu. Saya pernah berbincang dengan beliau tentang hala tuju Sibu sendiri dari segi perkhidmatan dan ekonomi," kata Abang Johari.

Antara cadangan Kee Yew adalah untuk menghasilkan dimensi baharu dari segi pembangunan Sibu, bersekali dengan daerah pedalamannya, Sungai Rajang, katanya.

Ketua menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita di Nirvana Memorial Park di sini di mana beribu-ribu orang terdiri daripada sanak saudara dan sahabat handai, memberi penghormatan terakhir kepada anak lelaki tunggal Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh.

Sebelum beliau meninggal dunia pada Ahad lepas, Kee Yew melawat sebuah rumah panjang di Nanga Tutus, Batang Igan, untuk bertemu masyarakat di penempatan itu sungguhpun perayaan Tahun Baharu Cina masih disambut.

"Ini menunjukkan keprihatinan beliau dan usaha yang diambil dalam melakukan transformasi seperti yang dicadangkannya itu. Oleh itu, saya fikir generasi muda harus mengambil contoh daripada apa yang telah diusahakannya," kata Abang Johari, yang turut menyifatkan Kee Yew sebagai seorang yang kuat bekerja dan merendah diri.

Beliau menasihati golongan muda yang mempunyai cadangan agar menterjemahkannya menjadi tindakan yang dirancang secara holistik, seperti yang dilakukan Kee Yew, supaya cadangan itu dapat dilaksanakan.

Abang Johari berkata Kee Yew memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dengan mengusahakan penubuhan Kolej Laila Taib dan University College of Technology Sarawak (UCTS) di sini.

Selain Abang Johari dan beberapa anggota kabinet negeri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), wakil rakyat daripada DAP kelihatan turut hadir.

Kee Yew bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lepas sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Sibu. Beliau memperoleh 22,389 undi tetapi kalah kepada penyandang daripada DAP, Oscar Ling yang meraih 33,811 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Jasad beliau akan dibakar di krematorium itu pada 8 pagi esok. - BERNAMA