Abang Johari, yang dalam lawatan kerja lima hari ke Melbourne, ibu negeri Victoria di Australia itu, berkata Sarawak seharusnya mempunyai asas sumber manusia kukuh memandangkan mereka sedang membangunkan pengangkutan hijau yang memerlukan sumber tenaga terlatih untuk mod pengangkutan awam baharu itu apabila ia dilaksanakan kelak.

Abang Johari
Abang Johari 

"Inilah bidang yang kita berminat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri di sini, bersempena lawatan beliau ke Kangan Institute.

Kangan Institute merupakan penyedia latihan perantis terbesar di Victoria, yang merangkumi pelbagai industri di Australia.

Selain itu, beliau berkata Sarawak juga berminat menjalinkan kerjasama dengan institut berkenaan dalam bidang latihan berkaitan pertanian pintar dan digital kerana negeri berkenaan sedang melaksanakan program transformasi pertanian dalam usaha menjadi pengeluar makanan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kangan Trevor Swenke berkata institut itu bersedia membantu Sarawak berdasarkan kepakaran dan pengalaman dimiliki mereka, sambil berharap perbincangan lanjut akan diadakan dalam menentukan bagaimana mereka dapat membantu negeri berkenaan dalam bidang TAFE.

Pada Khamis, Abang Johari akan menerima anugerah Doktor Kehormat dari Swinburne University of Technology, sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan beliau yang lama dan cemerlang kepada Sarawak.


Delegasi daripada kerajaan Sarawak itu termasuk Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa'ee; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abu Bakar Marzuk; Pengerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Tan Sri Abdul Aziz Hussain serta Anggota Lembaga dan Majlis Swinburne University Kampus Sarawak.- BERNAMA