Abang Johari
Abang Johari 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri perlu mematuhi dasar luar Kerajaan Persekutuan.

"Malaysia mempunyai pendirian sendiri dan Sarawak hanyalah sebagai venue. Saya tahu ia telah dibatalkan tetapi kami perlu perlu menurut dasar luar Kerajaan Persekutuan," katanya ketika mengulas keputusan IPC yang diumumkan semalam.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Kesenian Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setakat semalam, 1,678 atlet dan pegawai dari 64 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan yang dijadualkan dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Abdul Karim berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri Program 'Experience Sarawak' di sini malam tadi dan menambah Sarawak merasa sedih dan kecewa tetapi menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka. 

"Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penyertaan atlet Israel, maka negeri perlu menurutinya atau tidak negara lain akan mentertawakan kami jika kami menggunakan dasar sendiri," katanya. 


Bagaimanapun, beliau berkata akan terdapat kerugian dari segi kewangan kerana persiapan untuk pertandingan antarabangsa itu sudah dibuat sejak tahun lepas sementara negara peserta juga telah menempah penerbangan dan penginapan mereka.


"Tetapi sebagaimana yang saya kata kami perlu akur dengan dasar luar negara, maruah negara perlu difikirkan dan kami perlu menjaga martabat negara," katanya. 


Kira-kira 600 perenang dari lebih 60 negara dijangka menyertai acara itu yang menawarkan lebih 160 pingat. 


Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian yang tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada kejohanan itu.


Bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Israel membantah terhadap keputusan itu dan terus memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka. - BERNAMA