Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, samseng jalanan yang menunggang motosikal merempuh Ketua Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah, Asisten Superintenden Mohd. Fauzi Mohammat, 39, ketika menjalankan pemeriksaan bersama anggota.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, mangsa tersebut mengalami kecederaan di kaki dan hentakan di kepala namun keadaannya dilaporkan stabil.

"Beliau telah dibenarkan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas itu.

"Justeru itu, polis kini sedang giat mengesan suspek yang bertindak melarikan diri selepas merempuh mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, saksi kejadian yang ternampak rempuhan itu diminta segera menghubungi polis bagi membantu siasatan.

"Kita memohon orang ramai bersama membanteras samseng jalanan di bandar ini dengan menyalurkan maklumat berkaitan.

"Operasi samseng jalanan diadakan ekoran aduan orang ramai yang mana akan diteruskan dari masa ke semasa," ujarnya. - UTUSAN ONLINE