Dibina menggunakan Sistem Bangunan Berindustri, setiap unit rumah berkenaan yang berharga RM90,000 hingga RM150,000, akan hanya mengambil masa 21 hari untuk disiapkan.


Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapa'ee berkata 58 unit rumah tersebut telah diperuntukkan kepada penduduk Kampung Datu Lama yang kehilangan rumah mereka dalam kejadian kebakaran pada Jun 2013.


"Pada fasa pertama ini, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) akan membina 110 rumah manakala Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) akan membina 76 rumah. Kesemua adalah rumah berkembar, ada jenis rumah bertiang dan ada jenis rumah atas tanah," katanya.


Dr Annuar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau unit contoh rumah berkenaan di tapak projek tersebut hari ini.


Beliau, bagaimanapun tidak menyatakan mereka yang bakal mendiami baki rumah dalam projek fasa pertama itu.


Pelaksanaan projek perumahan mampu milik Kemuyang bertujuan untuk menyediakan kediaman kepada keluarga penduduk Kampung Datu Lama serta sebahagian daripada projek pembangunan semula Kampung Hilir dan Kampung Baharu selain daripada penduduk beberapa kampung terletak di kawasan Nangka.


"Kita kini di peringkat akhir untuk memberi taklimat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai projek itu dan sebaik sahaja beliau bersetuju dengan konsep, kos dan peruntukan, maka kita akan maklumkan kepada penduduk," katanya.


Dr Annuar berkata masih banyak lagi unit kediaman tersebut dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk menawarkannya kepada orang ramai atau sebaliknya.


Selain Sibu, projek perintis Rumah Pertiwiku juga dilaksanakan di Jepak (Bintulu), Niah-Lambir (Miri) dan Kuching, dengan menyediakan 2,500 unit kediaman kepada golongan berpendapatan rendah.- BERNAMA