Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemberian 'one off' tersebut seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2018.

Katanya, sebanyak RM1,000 diagihkan awal tahun ini manakala bakinya pula diberikan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Kita tidak pernah meminta bagi pemberian 'one off' ini, namun Perdana Menteri memasukkan bagi multaqa murabbi ini yang menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin dikalangan masyarakat Islam.

"Bagi peruntukan imbuhan dan elaun 2018 berjumlah RM40.4 juta melibatkan 744 imam (RM7.5 juta), 355 guru takmir (RM3.4 juta) dan 2,412 guru kafa (RM29.4 juta) di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Penangguhan Multaqa Murabbi Ummah Negeri Sarawak oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha. - UTUSAN ONLINE