Alexson Naga Chabu
Alexson Naga Chabu 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata operasi yang bermula dari 8 hingga 10 pagi itu melibatkan 24 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.


"Hasil operasi, 11 bas ekspres diperiksa dan 20 saman telah dikeluarkan atas kesalahan tiada lampu break, tayar botak, tiada tanda segi tiga keselamatan dan alat pemadam api manakala 21 pemandu bas menjalani saringan air kencing, namun tiada yang didapati positif dadah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuching Sentral di sini, hari ini.


Alexson berkata sejak Op Selamat dilancarkan pada 29 Feb lepas, sejumlah 167 kes kemalangan jalan raya dicatatkan.


"Kes kemalangan ini mencatatkan peningkatan 1.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas bagaimanapun kes kemalangan maut menurun 60 peratus, setakat ini hanya dua kematian dicatatkan," katanya.


Pengguna jalan raya diingatkan untuk lebih berwaspada di musim perayaan ini, rancang perjalanan, pastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik dan selamat, berhenti jika mengantuk dan amalkan sikap bertimbang rasa.
- BERNAMA