Mustafa Kamal Gani Abdullah
Mustafa Kamal Gani Abdullah 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata terdahulu lelaki berumur 56 tahun itu menghubungi seorang lelaki bernama Goh setelah terlihat iklan pinjaman berkenaan di Facebook pada hari Isnin lepas dengan menelefon 011-25853723.

"Lelaki itu memberitahu ingin buat pinjaman RM100,000 dalam tempoh masa bayaran selama enam tahun dan suspek (Goh) mengatakan amaun untuk setiap bulan adalah sebanyak RM1,806," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian mengarahkan pembayaran RM2,000 sebagai bayaran proses pinjaman dan lelaki itu terus memasukkan wang berkenaan ke akaun CIMB suspek pada Rabu 8.10 pagi.

Menurutnya pada hari yang sama, kemudiannya beliau mendapat satu lagi panggilan kononnya daripada syarikat berkenaan yang meminta bayaran RM5,418 lagi, namun kali ini selepas disiasat lebih lanjut dengan Lembaga Hasil dalam Negeri di Bintulu, lelaki itu mendapati syarikat pinjaman berkenaan tidak wujud.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa berkata 220 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan pada tempoh dari Januari sehingga Disember 2018, yang melibatkan jumlah kerugian melebihi RM1.5 Juta di Sarawak.

Katanya bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Februari 2019 pula 22 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan melibatkan jumlah kerugian melebihi RM115,547.

"Sebanyak 39 tangkapan dibuat pada tahun 2018 dan pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini pada tahun ini," katanya lagi.- BERNAMA