Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, mengikut undang-undang, status bumiputera di Sarawak diiktirafkan jika kedua ibu bapa kanak-kanak itu merupakan suku kaum daripada etnik bumiputera di negeri ini.

Walau bagaimanapun, katanya, bagi kanak-kanak dilahirkan melalui perkahwinan campur iaitu sama ada bapa atau ibunya merupakan bumiputera, mereka masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke IPT menggunakan kuota bumiputera melalui sekular pengiktirafan secara pentadbiran.

“Ketika ini, ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sudah menghantar permohonan memasuki IPT.

“Jadi, kita melalui Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) ingin mengingatkan agensi yang terlibat menguruskan kemasukan pelajar ke IPT supaya menerima pelajar bukan bumiputera yang dilahirkan menerusi perkahwinan campur tetapi cemerlang dalam akademik ini menyambung pelajaran ke institusi pengajian yang dipohon.

“Hal ini kerana status mereka sebagai bumiputera boleh iktiraf secara pentadbiran seperti diluluskan di bawah undang-undang yang dipersetujui oleh Ketua Setiausaha Negara pada 2009,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Perbincangan Meja Bulat : Isu Perkahwinan dan Penyelenggaraan Nafkah Penceraian (Bumiputera Bukan Islam) di Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, status pengiktirafan secara pentadbiran itu melayakkan pelajar bukan bumiputera ini diterima memasuki pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), matrikulasi dan mendapat biasiswa tajaan. - UTUSAN ONLINE