Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, menggesa Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee untuk mendedahkan spesifikasi penuh projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan, Bintulu dan SK Meludam, Betong.

Utusan Borneo melalui portalnya www.utusanborneo.com.my melaporkan, Chieng Jen berkata, berdasarkan kepada kenyataan Menteri Muda itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu setiap sekolah itu memerlukan lebih RM4o juta untuk disiapkan.

“Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan saya di lapangan, sekolah-sekolah ini tidak terletak di kawasan yang jauh di pedalaman, dapat diakses oleh jalan berturap, berdekatan Bandar Bintulu dan Bandar Betong.

“Setiap daripada sekolah ini mempunyai kira-kira 250 pelajar. Justeru, saya ingin mencabar Dr Annuar untuk mengemukakan spesifikasi pembinaan sekolah-sekolah ini, bagaimanakah ia dapat mewajarkan perbelanjaan kerajaan negeri membelanjakan lebih RM40 juta bagi membina sebuah sekolah.

“Adakah mereka membina kolej atau sebuah sekolah?,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Chieng Jen juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mahu kerajaan negeri bertanggungjawab kepada rakyat Sarawak kerana telah meluluskan projek tersebut.

“Jangan anggap projek sekolah sebagai mesin ATM untuk kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak,” katanya. - UTUSAN ONLINE