Long, yang isterinya, Sim Ewe Kee dan menantunya Johnny Lau Sie Yan turut cedera dalam kejadian yang menyebabkan kematian tiga orang dan mencederakan 44 yang lain, berkata beliau simpati dengan mangsa yang terlibat.


"Kami sangat sedih, bersedih atas kejadian ini di mana kami kehilangan tiga nyawa. Kini, apa yang boleh saya lakukan adalah menjaga kebajikan mereka, melawat mereka di hospital dan berikan bantuan kewangan kepada (tiga) keluarga mangsa yang meninggal dunia," katanya kepada pemberita di tempat kejadian letupan gas itu di sini hari ini.


Long berkata keselamatan adalah keutamaan di CityOne Megamall dan pekerja dan rakan-rakan di restoran Nene Chicken, di mana letupan dari kebocoran gas itu berlaku ketika mereka sedang melakukan persiapan terakhir untuk pembukaannya yang dijadualkan hari ini.


"Ramai yang amat teruja, namun satu letupan telah mengubah segala-galanya," kata Long juga pengarah Kenbest Sdn Bhd yang menguruskan CityOne Megamall selain pemilik franchise Nene Chicken di Sarawak.

Long berkata ketika kejadian yang berlaku 3.30 petang semalam itu, menantunya Johnny berada di dapur Nene Chicken dan mengalami kecederaan terbakar 20 peratus akibat letupan itu manakala isterinya Sim mengalami kecederaan ringan.


Sementara itu, anak lelaki Long, Jonathan, yang juga berada di dalam kedai pada masa itu, memohon maaf selepas sikap agresifnya terhadap orang ramai menjadi tular di media sosial.


"Saya dalam keadaan amat terkejut, segala-galanya runtuh di hadapan saya dan perkara pertama yang saya fikirkan adalah keselamatan orang yang berada di dalam," jelasnya.


Ketiga-tiga lelaki yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai O Kui Lim, 49, dan Tchee Kiam Jong, 24, dari sini dan Chin Hsien Loong, 29, dari Butterworth, Pulau Pinang.


Seorang pekerja pembinaan Indonesia, 29, juga merupakan antara 44 orang yang cedera dalam letupan gas tersebut. - BERNAMA