Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power James Ung berkata projek untuk tempoh tujuh tahun itu masih dalam peringkat awal dengan kerja-kerja pembinaan dijangka memasuki tahap tinggi tahun depan.


"Menjelang akhir tahun ini, sasaran kami adalah lapan peratus ... Projek Baleh adalah projek besar, kami mempunyai banyak pakej tetapi yang paling penting adalah empangan, loji janakuasa, talian penghantaran, jalan dan lain-lain.


"Hari ini, keutamaan kami adalah membina infrastruktur - jalan raya, rumah - dan kemudian buat sedikit persiapan kerja-kerja tanah. Bangunan fizikal empangan itu belum dimulakan. Kami mungkin memulakannya tahun depan, "kata Ung kepada Bernama.


"Hari ini mungkin ada beberapa ratus pekerja tetapi pada waktu puncak dalam dua atau tiga tahun akan datang, projek tersebut mungkin melibatkan tiga atau lima ribu pekerja terdiri daripada warga negara yang berbeza," katanya.


Beliau berkata melalui pembinaan empangan hidro elektrik Baleh yang melibatkan kos RM9 bilion, Sarawak berharap untuk mengekalkan taraf elektrik sebagfai antara yang paling rendah dan berdaya saing di rantau ini.


Sementara itu, mengenai cadangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan tenaga hidrogen untuk pengangkutan di negeri ini, Ung berkata SEB akan memulakan perbincangan untuk meletakkan asas bagi program tenaga hidrogen.


"Kami mendapati tenaga hidrogen berpotensi pada masa depan. Bukan dengan segera kerana hari ini kos mengeluarkan hidrogen masih mahal seperti tenaga solar. Kami sedang melihat masa depan, kira-kira lima hingga sepuluh tahun akan datang, "katanya.


Ung berkata hidrogen mempunyai potensi untuk muncul sebagai sumber tenaga, oleh itu kerajaan negeri Sarawak mahu memulakan industri hidrogen sekarang. - BERNAMA