Operasi itu, katanya, diadakan menerusi rondaan dan statik di jalan-jalan di negeri ini di samping pemeriksaan ke atas bas ekspres di terminal bagi memastikan semua bas yang beroperasi sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.


Tugas penguatkuasaan akan turut dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa JPJ yang tidak berpakaian seragam di dalam bas ekspres, katanya ketika berucap pada perhimpunan JPJ Sibu di sini hari ini.


Mohd Syafiq berkata JPJ Sarawak akan menerima 13 anggota pelbagai jawatan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat dari Semenanjung untuk mengisi perjawatan sementara bermula 1 Jan 2019 hingga 31 Dis 2020 dan ditempatkan di Bahagian Penguatkuasa di JPJ Negeri serta cawangan mengikut keperluan.


Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan warga JPJ Sarawak supaya tidak menularkan sebarang isu yang boleh menjejaskan kepentingan serta imej jabatan dalam akaun laman sosial mereka disebabkan perasaan tidak puas hati.


"Kalau hendak meluahkan perasaan pun jangan dimuat naik dalam FB, Twitter dan sebagainya. Banyak yang kita lihat dalam laman-laman sosial anggota kita suka nak meluahkan perasaan, perkara ini sentiasa dipantau oleh pihak ibu pejabat," jelasnya.


Beliau menegaskan apa jua isu perlu dibincangkan bersama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan menjaga profesionalisme mereka. - BERNAMA