Ketua jurulatih skuad Kenyalang, Mohd Farhan Abdullah berkata, pemain itu perlu membuktikan kemampuan pada tiga aksi pemanas badan itu nanti untuk melayakkannya menyarung jersi Sarawak musim ini.

“Tiga aksi persahabatan di Semenanjung Malaysia menjadi medan untuk menguji kemampuan sebenar pasukan baharu ini lebih-lebih lagi pemain import kini sedang menjalani ujian.

“Beliau (Rian) mempunyai bakat dan kualiti yang kita perlukan namun perlu diuji dalam perlawanan lebih kompetitif untuk melihat sejauh mana keupayaannya,” katanya seperti dipetik dari Utusan Borneo.

Rian, 20, berpeluang menyertai pasukan Sarawak selepas tiga rakan sekelabnya di Kelab Persipon, Indonesia iaitu Hezron Benyamin Hamokwarong, 21, Muhammad Hanafi, 21, dan Felix Fortunata, 19 telah pulang awal kerana gagal menambat hati Farhan.

Sarawak dijadualkan menentang dua pasukan Liga Premier 2019 dalam aksi persahabatan iaitu Selangor United di Stadium Wisma FAM pada 17 Januari ini disusuli dengan perlawanan menentang PDRM di Stadium Pulapol, Kuala Lumpur pada 19 Januari.

Mereka akan menamatkan kempen pramusim menentang pasukan Liga Super, Melaka United pada 21 Januari.