Azmir Zain
Azmir Zain 

Ketua Pegawai Operasi MAVCOM Azmir Zain berkata daripada analisis penumpang bagi laluan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di Sarawak antara Januari dan Oktober 2018, kira-kira 47.8 peratus daripada penumpang melakukan perjalanan dari bandar ke bandar manakala 49.6 peratus penumpang dari bandar ke luar bandar.


Beliau berkata keseluruhan operasi RAS antara tempoh yang sama pada 2018, menunjukkan jumlah penumpang bandar ke bandar adalah 70 peratus, penumpang bandar ke luar bandar 28 peratus dan hanya dua peratus adalah penumpang luar bandar ke luar bandar.


"Objektif RAS dan subsidi daripada kerajaan adalah untuk membantu perjalanan luar bandar ke luar bandar, dan statistik ini menunjukkan bahawa subsidi tidak ke kawasan yang sepatutnya," katanya pada taklimat media di sini hari ini.


Azmir berkata MAVCOM masih dalam perbincangan dengan kerajaan pesekutuan mengenai cara untuk memperbaiki kemudahan perjalanan luar bandar ke luar bandar termasuk Bukit Mabong di Kapit, Belaga dan Long Silat di Baram, Sarawak serta Long Pasia di Sabah.

"Kemudahan seperti landasan berlepas dan mendarat yang pendek (STOLport) atau lapangan terbang kecil di kawasan luar bandar perlu disediakan dahulu untuk merealisasikan objektif ini," kata Azmir dan menambah mereka juga meninjau untuk memperkenalkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia bagi pewartaan STOLport.


Sementara itu, beliau berkata MAVCOM juga memantau tambang penerbangan, terutama semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Krismas yang naik pada purata tiga hingga lima kali ganda daripada kadar biasa yang ditawarkan. -BERNAMA