Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail Mahedin berkata, setakat pukul 8 pagi ini, 20 pusat pemindahan telah dibuka di kawasan terjejas di bahagian Samarahan, Serian dan Mukah.

"Buat masa ini, operasi pemindahan dan menyelamat berjalan lancar, manaka pusat pemindahan berada dalam keadaan terkawal," katanya dalam kenyataan di sini pagi ini.

Sementara itu, banjir turut menyebabkan pasukan penyelamat termasuk bomba sentiasa berjaga-jaga dan memantau keadaan berisiko dinaiki air.

Di Miri, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong memberitahu, anggotanya bergerak seawal pukul 4 pagi untuk meronda kawasan yang dikhuatiri terjejas banjir dari Kuala Baram sehingga ke Bakam.

Katanya, selain memindahkan murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tukau yang terperangkap dalam banjir semalam, anggota sama meneruskan tugas membantu mengangkat barang-barang di rumah penduduk yang dinaiki air di kawasan perumahan Eco Park. - UTUSAN ONLINE