Anggota Parlimen Bandar Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata pada masa ini, skim penempatan semula itu terletak di kawasan tanah gambut yang sering mendap, dan dalam jangka panjang "kos yang amat tinggi" diperlukan untuk menyediakan serta mengekalkan infrastruktur asas kepada penduduk di situ.

"Kenapa kawasan ini yang dipilih untuk penempatan semula? Adakah sebarang rancangan untuk menempatkan semula kampung terbabit?," tanya beliau ketika sidang media di ibu pejabat DAP Sibu di Taman Rajang di sini hari ini.

Ling menarik perhatian projek tebatan banjir bernilai RM18 juta untuk meninggikan jalan raya, menambah baik sistem saliran dan membina laluan konkrit ke 35 buah rumah di Kampung Jeriah menerusi dua fasa membabitkan yang kos terlalu tinggi.

"Bukan sahaja kosnya terlalu tinggi, jalan raya akan menjadi lebih tinggi daripada rumah yang sering mendap. Kerajaan perlu menyalurkan lebih banyak peruntukan dalam jangka panjang untuk mengekalkan infrastruktur," katanya.

Fasa 1 projek tebatan banjir telah pun bermula dan akan mengambil masa 16 bulan untuk disiapkan manakala fasa 2 baru sahaja diluluskan dan akan melalui proses penawaran tender tidak lama lagi.

Ling berkata beliau telah pun mengadakan perbincangan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka Dr. Annuar Rapa'ee, yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Umum Sarawak, untuk mewujudkan mekanisme, termasuk pampasan kepada penduduk, jika terdapat rancangan untuk menempatkan semula kampung berkenaan ke kawasan yang lebih baik dan kondusif.

Kampung Jeriah adalah sebahagian daripada tiga kawasan penempatan semula yang diwujudkan untuk menyelesaikan masalah setinggan di Sibu sejak lebih dua dekad yang lepas. Dua lagi kawasan penempatan semula ialah Kampung Bahagia di Teku dan Kampung Sentosa di Salim.

Kedua-dua kampung itu juga kerap dilanda banjir, Kampung Bahagia memerlukan RM5 juta dan beberapa juta Ringgit bagi Kampung Sentosa untuk menambah baik prasarana di kawasan berkenaan.

Mengenai setinggan, Ling berkata kerajaan negeri gagal untuk membendung masalah itu memandangkan ia muncul semula dan menunjukkan peningkatan di Sibu berikutan migrasi dari luar bandar ke bandar.-- BERNAMA