Timbalan Ketua Menteri yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi tempoh separuh tahun pertama ini, tiada isu-isu besar yang melibatkan keselamatan dalam negeri mahu pun sempadan darat, laut dan ruang udara Sarawak.

Walau bagaimanapun, katanya, operasi dan pemantauan sentiasa dilaksanakan oleh semua agensi keselamatan darat, laut dan udara bagi memastikan situasi keselamatan negeri ini terkawal sepenuhnya.

“Untuk mengukuhkan keselamatan sempadan di seluruh negeri ini, 1 Briged Sempadan telah ditubuhkan yang terdiri daripada lima Batalion Regimen Sempadan.

“Buat masa ini, briged terbabit masih dalam proses pengisian perjawatan dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada 2019,” ujarnya dalam ucapan penggulungan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Bagi Penggal Ke-18 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan pengwujudan briged tersebut, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia akan menambah empat lagi Pangkalan Operasi Harapan (FOB) iaitu FOB Pakan, FOB Mabong, FOB Bakun dan FOB Long Akah.

Mengenai isu keselamatan di Tanjung Datu membabitkan sempadan di Telok Melano dan sempadan am, beliau berkata, pihak Jabatan Imigresen negeri telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan sebuah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Telok Melano kepada Kementerian Dalam Negeri melalui Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada tahun lalu dan cadangan itu masih dalam kajian.

Dalam pada itu, katanya, bagi menanggani isu kawalan sempadan dari Biawak hingga ke Tanjung Datu, pada masa ini kawasan tersebut adalah di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan setengah platun terdiri daripada 18 anggota telah ditempatkan di kawasab Telok Melano.

Tambahnya, pihak PGA Briged Sarawak juga telah merancang menempatkan satu lagi seksyen seramai 11 orang untuk kawalan ICQS Biawak.

“Selain itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga telah beroperasi di ICQS Biawak untuk memantau kegiatan penyeludupan barangan kawalan di kawasan tersebut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE