Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, aplikasi tersebut merupakan satu lagi detik bersejarah bagi Sarawak kerana merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat di hujung jari.

Katanya, jika dulu, sekiranya mahu memberi pelan, orang ramai perlu ke Pejabat JTS dan berurusan di kaunter, namun sekarang hanya dengan menggunakan telefon pintar, pembelian pelan boleh dilakukan dengan segera pada bila-bila masa dan di mana sahaja pelanggan berada.

“Itulah kelebihan teknologi masa kini. Kita seharusnya mengambil kesempatan atas kemudahan yang disediakan oleh teknologi terkini untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya berharap selepas ini, lebih banyak perkhidmatan kerajaan yang lain akan mengikut jejak LASIS untuk membangunkan perkhidmatan melalui aplikasi telefon pintar,” ujarnya berucap dalam Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Servei Sarawak (JTS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datu Len Talif Salleh; Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) negeri, Datuk Talip Zulphilip; Setiausaha Kerajaaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengarah JTS, Zaidi Mahdi.

LASIS dibangunkan oleh JTS bersama Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) boleh dicapai menggunakan peranti mudah alih (iOS atau telefon pintar android atau tablet).

Aplikasi ini membolehkan pengguna membuat carian tanah menggunakan mercu tanda, `Unique Parcel Identifier’ (UPI) atau nombor lot seperti tertera pada surat hakmilik tanah.

Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan itu untuk membeli peta kadastra berskala 1:5,000 atau 1:1,000, membuat permohonan pembaharuan tempoh pemilikan tanah, menyemak cukai tanah, premium tanah dan seterusnya membuat pembayaran sekiranya ada jumlah perlu dibayar.

LASIS juga boleh membuat perhitungan nilai premium perlu dibayar bagi kes penukaran syarat hakmilik tanah daripada pertanian kepada tanah kediaman, di samping menyediakan maklumat penting berkaitan tanah.

Aplikasi itu boleh dimuat turun daripada App Store atau Google Play Store secara percuma bermula hari ini. - UTUSAN ONLINE