JPNS dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, pihaknya juga telah meyelaraskan pengisian GeMS agar sejajar dalam memenuhi hasrat 11 Anjakan, 55 inisiatif utama, 5 Aspirasi Sistem dan 6 Aspirasi Murid seperti terkandung dalam Pelan Pembangu­nanan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Katanya, GeMS 2013-2025 memberi tumpuan terhadap empat teras strategik iaitu meningkatkan pembelajaran murid, memperkasakan guru dan pemimpin sekolah, mentranformasikan JPNS, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah serta mengupayakan struktur sistem.

“Pelan strategik ini akan dijadikan panduan untuk melaksanakan perancangan dengan berkesan bagi mencapai sasaran serta hasil yang telah ditetapkan,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihak­nya juga telah membuat persediaan dan perancangan rapi untuk menghadapi sesi persekolahan yang bermula di negeri ini esok.

Katanya, pasukan khas diwujudkan di peringkat JPNS dan PPD untuk menangani isu-isu persekolahan.

Tambahnya, pemantauan persediaan sekolah akhir tahun dan awal tahun dijalankan dua minggu sebelum dan selepas sesi persekolahan 2015 bagi memastikan ‘titik sentuhan’ Kementerian Pendidikan (1Murid 1Meja 1Kerusi 1Set Buku Teks) disediakan.

‘Terbang Kenyalang Terbang, Terbang Tinggi’ merupakan kata juang bagi menyuntik semangat seluruh warga pendidik Bumi Ken­yalang untuk melonjakkan prestasi pencapaian yang lebih baik dalam usaha menjulang pendidikan negeri ini.

“Sepanjang tahun lalu telah banyak usaha dijalankan untuk memastikan dasar pendidikan nasional dicapai melalui Program Transformasi Daerah bertujuan mengupayakan PPD secara optimum dan lebih fokus ke arah membangunkan pencapaian pendidikan melalui aktiviti yang dijalankan,” ujar kenyataan itu.

Katanya, jawatan baharu se­perti Rakan Peningkatan Sekolah+ (SIP+) dan Pakar Jurulatih Peningkatan Sekolah (SISC+) turut diwujudkan yang berperanan sebagai pembimbing, berkongsi amalan terbaik, sekali gus sebagai jurulatih kepada pemimpin dan guru di sekolah.