ABANG JOHARI TUN OPENG
ABANG JOHARI TUN OPENG

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, institusi Yang Dipertua Negeri merupakan payung kedaulatan dan penyatuan rakyat di negeri ini dalam mencapai kemajuan dan pembangunan.

Katanya, ia lebih kurang sama dengan institusi Yang di-Pertuan Agong yang juga disambut hari ini dalam menyatupadukan rakyat di seluruh negara.

“Bagaimanapun, kewujudan pandangan dan pendapat berbeza tidak menghalang kesatuan kita dalam mengejar impian menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju.

“Kesemua rakyat berhak menikmati pembangunan sama ada mereka berada di bandar atau luar bandar tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-81 di Dataran Perayaan, Stadium Sarawak hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Mengulas lanjut, beliau berkata, soal agama dan keturunan ini tidak pernah menjadi isu yang besar antara rakyat Sarawak dan biarlah ia tidak menjadi isu dalam usaha membangunkan negeri ini.

“Kerajaan juga sentiasa berusaha untuk memastikan setiap anak Sarawak yang berkelayakan dan berpengalaman akan diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk kedudukan tertentu dalam syarikat mahupun perkhidmatan awam.

“Kita sudah hidup berkongsi untuk sekian lama dan biarlah perkongsian ini diteruskan sampai bila-bila,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE