Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman, Wan Busrah Wan Skran berkata, Big Books berupaya menarik minat murid-murid sekolah untuk membaca terutama bahan bacaan bahasa Inggeris.

Beliau berkata, ketika ini, buku teks yang digunakan oleh kebanyakan sekolah dilihat tidak mampu menarik minat murid-murid untuk membacanya kerana kebiasaannya mereka lebih mengemari bahan bacaan yang mempunyai gambar berwarna-warni.

“Justeru, pengolahan Big Books oleh ibu bapa murid diyakini dapat meningkatkan tahap penguasaan anak-anak mereka dalam subjek bahasa Inggeris, sekali gus membantu kanak-kanak terbabit menguasai pelajaran dan pembelajaran dalam subjek berkenaan.

“Tujuan penghasilan Big Books adalah supaya murid berasa lebih tertarik dan teruja untuk melihat serta mendengar sendiri kerja yang dihasilkan oleh ibu bapa masing-masing,” katanya berucap meras­mikan Program Membuat Big Books di SK Abang Abdul Rahman semalam.

Program tersebut disertai oleh kira-kira 60 orang terdiri daripada ibu bapa di SK Abang Abdul Rahman.

Menurut Wan Busrah, sebelum ini, ibu bapa murid tidak diberi pendedahan untuk mempelajari subjek bahasa Inggeris menyebabkan mereka hanya berpandukan kepada buku teks yang disediakan di sekolah untuk membantu mendidik anak-anak di rumah.

Katanya, buku tersebut memberi peluang kepada murid untuk mempelajari sesuatu yang baharu daripada buku yang telah dihasilkan dan mempamerkan kreativiti serta komitmen.

“Penghasilan Big Books merupakan satu usaha bagi menarik minat anak-anak untuk belajar dengan mendapatkan kerjasama ibu bapa agar sama-sama membuat buku besar tersebut,” katanya.